– Anwar Bagi Bayangan Gembira, Tapi Sila Sabar Dulu…
KULAI – Ada berita gembira buat penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR)! Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, secara terbuka memberikan ‘lampu hijau’ bahawa jumlah bantuan tunai tersebut akan dinaikkan lagi pada masa akan datang.
Bagaimanapun, buat masa ini, maklumat terperinci mengenai kenaikan itu terpaksa ‘dikunci rapat’ terlebih dahulu.
“Boleh Naik, Tapi Bukan Sekarang!”
Bercakap di hadapan orang ramai, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan bahawa keputusan itu sudah ada dalam radar kerajaan, namun pengumuman rasmi tidak akan dibuat secara terburu-buru.
Menurutnya, pengurusan kewangan negara kini lebih telus di bawah Kerajaan Madani kerana ketegasan kerajaan menyekat amalan rasuah dan salah guna kuasa.
“Boleh (naik), tapi tak boleh umum sekarang. Orang dah sokong Kerajaan Madani, kita bantu apa yang ada kerana kita tak berani, tak benarkan orang sakau rakyat punya duit. Duit balik pada rakyat ya,” katanya tegas.
Perli Kaedah Lama: “Tak Payah Beratur Panjang Macam Dulu!”
Dalam acara Program Kita Geng Madani Anak Muda Bukit Batu di Jalan Tropika hari ini, Anwar turut sempat ‘menyengat’ sistem agihan bantuan tradisional. Beliau membandingkan kecekapan sistem STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang terus masuk ke akaun atau kad pengenalan rakyat tanpa perlu bersusah-payah.
“Ada family dapat RM1,400, you beratur? Tak ada. Ada yang tinggi kalau anak ramai sampai RM1,800. Tak ada beratur,” ulasnya lagi.
Beliau secara sinis menyindir kaedah pengagihan Bantuan Kasih Johor (BKJ) oleh kerajaan negeri Johor sebelum ini yang didakwa memaksa rakyat beratur panjang berjam-jam lamanya demi mendapatkan bantuan.
“Mahu Buat Macam Mana? Tukar Kerajaanlah!”
Anwar turut membidas dwi-standard pihak pembangkang yang sering memainkan sentimen kaum kononnya kedudukan orang Melayu terancam di bawah pentadbirannya.
“Kalau tidak tahu (beri sumbangan ikut cara SARA atau STR) mahu buat macam mana, tukar kerajaanlah. Ada kata kalau tukar kerajaan habislah orang Melayu, saya jadi Perdana Menteri sudah tiga tahun lebih, habis ke Melayu?” soal beliau retorik.
3 Tahun Bersihkan ‘Kekotoran’ 65 Tahun
Mengulas mengenai prestasi semasa, Anwar meminta rakyat memahami bahawa tempoh tiga tahun pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bersama Kerajaan Perpaduan adalah terlalu singkat untuk membetulkan segala kerosakan yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu sepanjang 65 tahun lalu.
Meskipun begitu, beliau menegaskan beberapa kejayaan awal sudah mula dinikmati rakyat, termasuk penurunan harga minyak dalam tempoh tersebut.
“Kita mahu bagi betul dua tiga tahun semua mesti betul, tak ada. Itupun dalam tiga tahun minyak sudah turun,” katanya mengakhiri bicara. – OMK!