JOHOR BAHRU — Jenama fesyen tempatan popular, Bayu Somerset, terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri gaya hidup tanah air menerusi pembukaan cawangan ke-21 di Pusat Beli-Belah Toppen, di sini.
Majlis pembukaan yang berlangsung serentak dengan sambutan ulang tahun kelima jenama berkenaan diraikan penuh bermakna sempena Hari Malaysia menerusi inisiatif khas menghargai anak-anak kelahiran Johor yang membawa inspirasi serta menyumbang bakti kepada masyarakat.
Ketua Pegawai Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul Arifin, berkata pihak syarikat teruja dapat menandakan lipatan sejarah baharu perniagaan mereka bersama ikon dan wira tempatan yang mengharumkan nama negeri.

“Kami berbesar hati meraikan pembukaan cawangan baharu ini bersama anak-anak Johor yang hadir daripada pelbagai latar belakang serta bidang kepakaran. Mereka membawa kisah perjuangan dan inspirasi tersendiri yang amat kami kagumi,” katanya ketika majlis penyerahan penghargaan di sini.
Antara tokoh tempatan yang menerima penghargaan pada majlis berkenaan termasuklah penyanyi dan pensyarah TESL Universiti Teknologi MARA (UiTM), Najwa Latif; serta johan Play-Off Qualifier Hippo English Without Borders 2026 di Doha, Wan Harriz Wan Abdul Qayyum, 10.
Turut diraikan ialah profesional komunikasi korporat dan pembina kandungan visual Johor Corporation (JCorp), Yusuf Hassan, serta wira seni tempatan, Kumpulan Tarian Sanggar Citra Tari.
Mengulas lanjut mengenai hala tuju perniagaan, Dania menjelaskan bahawa pemilihan Johor Bahru sebagai lokasi cawangan terbaharu merupakan langkah strategik untuk menembusi pasaran antarabangsa.
“Johor Bahru merupakan hub membeli-belah utama yang sering menjadi tumpuan pengunjung dari Singapura dan Indonesia. Pelan strategik telah dirangka bagi menarik minat pasaran serantau, sekali gus membuka ruang buat Bayu Somerset melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan tarian tradisional serta pelbagai promosi, diskaun istimewa, dan hadiah eksklusif buat para pengunjung.
Ditubuhkan pada 2021, Bayu Somerset terus komited mentakrifkan semula rekaan busana tradisional agar kekal relevan, moden, dan segar mengikut selera generasi masa kini. – OMK!