Blog Post

Ohh Malaysiaku! > Berita > finEZ platform perbandingan kewangan Islam pertama Malaysia dilancarkan

finEZ platform perbandingan kewangan Islam pertama Malaysia dilancarkan

KUALA LUMPUR, 1 Sept. – Ringgit Ease Sdn. Bhd. (RESB), anak syarikat Shoraka Group, hari ini melancarkan finEZ, platform perbandingan kewangan berteraskan konsep Islamik-dahulu (Islamic-first) yang membolehkan pengguna meneroka dan membandingkan produk kewangan patuh Syariah dalam satu platform.

Platform digital berkenaan dibangunkan bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat berkaitan produk kewangan tanpa perlu melayari laman sesawang pelbagai institusi kewangan secara berasingan.

Pada peringkat awal, finEZ menawarkan kategori Pembiayaan Peribadi-i yang membolehkan pengguna membandingkan antara lain kadar keuntungan, jumlah pembiayaan, tempoh pembiayaan, syarat kelayakan serta anggaran bayaran ansuran bulanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Shoraka Group, Datuk Mohd Hasnul Ismar berkata, pembangunan finEZ didorong oleh keperluan untuk menyediakan akses yang lebih mudah dan telus kepada produk kewangan Islam.

“Pengguna hari ini mempunyai lebih banyak pilihan berbanding sebelum ini, namun proses membandingkan pilihan pembiayaan masih boleh mengelirukan dan mengambil masa.

“Kami membangunkan finEZ untuk memudahkan pengalaman tersebut dengan meletakkan maklumat yang relevan dalam satu platform, sekali gus membantu pengguna memahami dan membandingkan pilihan yang tersedia dengan lebih baik sebelum membuat keputusan kewangan yang termaklum,” katanya.

Menurutnya, finEZ berbeza daripada platform perbandingan konvensional kerana ia dibangunkan dengan pendekatan Islamik-dahulu, dengan memberi tumpuan kepada produk kewangan patuh Syariah.

Katanya, pendekatan tersebut turut bertujuan menjadikan produk kewangan Islam lebih mudah difahami dan diakses, termasuk oleh pengguna yang pertama kali memohon pembiayaan atau masih baharu dengan konsep kewangan Islam.

Melalui platform itu, pengguna bukan sahaja boleh membandingkan produk yang ditawarkan institusi kewangan yang mengambil bahagian, malah boleh menggunakan kalkulator pembiayaan bagi menganggarkan bayaran ansuran bulanan serta mengemukakan pertanyaan berkaitan produk yang bersesuaian.

Bagi produk Pembiayaan Peribadi-i terpilih, pengguna yang memenuhi syarat turut boleh meneruskan permohonan melalui finEZ, tertakluk kepada proses kelulusan serta terma dan syarat institusi kewangan berkenaan.

Mohd Hasnul berkata, Pembiayaan Peribadi-i merupakan langkah pertama dalam usaha syarikat untuk mengembangkan finEZ sebagai platform perbandingan produk kewangan Islam yang lebih menyeluruh.

“Pembiayaan Peribadi-i hanyalah permulaan. Visi kami adalah untuk menjadikan finEZ sebagai destinasi yang dipercayai, di mana pengguna boleh mencari dan membandingkan pelbagai produk kewangan patuh Syariah yang lebih luas seiring dengan perkembangan platform ini,” katanya.

Pelancaran finEZ dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Ringgit Ease memperluaskan akses kepada produk kewangan Islam menerusi penggunaan teknologi digital, selain membantu pengguna membuat perbandingan sebelum memilih produk yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

Pengguna boleh mengakses platform finEZ di www.finez.my untuk mendapatkan maklumat dan membuat perbandingan produk Pembiayaan Peribadi-i yang tersedia. – OMK!