KUALA LUMPUR, 8 Mei – Jenama kesihatan dan kesejahteraan terkenal dunia, Bragg secara rasmi melancarkan rangkaian terbaharu Bragg Organic ACV Blends di Malaysia menerusi kerjasama strategik bersama BIG CARiNG Group, rangkaian farmasi runcit terkemuka negara.
Pelancaran eksklusif itu turut mengukuhkan peranan Matahari Sdn Bhd sebagai pengedar tunggal produk Bragg di Malaysia sekali gus memastikan produk tersebut dapat diperoleh secara meluas di seluruh negara.
Langkah itu mencerminkan komitmen berterusan Bragg dalam memperkukuh kedudukannya di pasaran Malaysia selain menawarkan solusi kesihatan moden yang lebih praktikal dan relevan dengan gaya hidup pengguna masa kini.

Berteraskan warisan lebih 100 tahun dalam pemakanan berfungsi dan produk kesihatan berkualiti, Bragg tampil dengan formulasi baharu yang lebih segar dan mudah dinikmati tanpa mengabaikan falsafah jenama itu yang menekankan penggunaan bahan bersih, sumber bertanggungjawab dan ketelusan proses pembuatan.
Rangkaian Bragg Organic ACV Blends dibangunkan dengan panduan Lembaga Penasihat Saintifik Bragg serta diformulasikan menggunakan bahan semula jadi tanpa gula tambahan sebagai pilihan mudah untuk rutin kesihatan harian.
Bagi pasaran Malaysia, dua varian diperkenalkan iaitu Cranberry Apple dan Citrus Ginger yang menawarkan rasa menyegarkan serta sesuai diminum setiap hari.

Varian Citrus Ginger menggabungkan cuka epal organik bersama rasa citrus dan halia, manakala Cranberry Apple tampil dengan rasa buah-buahan yang lebih kaya dan segar. Kedua-dua varian mengandungi 750 miligram asid asetik bagi setiap hidangan serta dihasilkan di Amerika Syarikat menggunakan 100 peratus epal organik melalui proses fermentasi semula jadi.
Produk itu juga bebas daripada pewarna tiruan, gula diproses dan bahan pengawet sekali gus menjadikannya pilihan lebih sihat untuk pengguna yang mementingkan kesejahteraan harian.
Pengarah Unit Perniagaan Kategori Beauty, Baby & Health Food BIG CARiNG Group, Foo Fung Jiun berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen bersama dalam membawa produk kesihatan premium dan berkualiti tinggi kepada pengguna Malaysia menerusi rangkaian farmasi runcit yang luas.

“Di BIG CARiNG Group, kami sentiasa memastikan produk yang ditawarkan relevan dengan keperluan gaya hidup pengguna masa kini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pembangunan Perniagaan Matahari Sdn Bhd, Annie Sim berkata, Bragg Organic ACV Blends melambangkan evolusi baharu jenama tersebut menerusi inovasi berterusan dan pembangunan produk berfokuskan pengguna.

“Matahari Sdn Bhd memainkan peranan penting dalam memperkukuh kehadiran Bragg di Malaysia dengan memastikan akses produk yang lebih meluas di seluruh negara,” katanya.
Dalam masa sama, Bragg menegaskan pihaknya komited terhadap standard kualiti global termasuk kawalan ketat bahan mentah, ketelusan rantaian bekalan serta pematuhan piawaian antarabangsa dalam setiap fasiliti pengeluarannya.
Bragg juga akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkaitan bagi memastikan pematuhan terhadap semua keperluan peraturan dan pelabelan tempatan di Malaysia. – OMK!