KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Suasana di SOGO Kuala Lumpur bertukar meriah apabila orang ramai dikejutkan dengan persembahan flashmob khas sempena kempen promosi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
Aktiviti berkonsepkan guerilla marketing itu merupakan sebahagian daripada usaha membawa kemeriahan MAHA 2026 lebih dekat kepada masyarakat, khususnya warga kota dan golongan muda.
Persembahan yang berlangsung secara spontan di ruang tumpuan pengunjung itu menggabungkan elemen muzik, tarian dan identiti MAHA 2026. Kemunculan sekumpulan penari secara tiba-tiba mencuri perhatian orang ramai sebelum mereka bersama-sama memeriahkan suasana menerusi persembahan bertenaga.
Lebih istimewa, persembahan tersebut turut disertai penyanyi terkenal tanah air, Faizal Tahir, yang merupakan penyanyi lagu rasmi MAHA 2026.
Kemunculan Faizal Tahir nyata mencetuskan keterujaan dalam kalangan pengunjung apabila beliau tampil menyertai persembahan serta berinteraksi secara langsung dengan orang ramai. Kehadiran beliau turut memberikan nafas baharu kepada pendekatan promosi MAHA 2026 melalui gabungan muzik, hiburan dan pengalaman secara langsung.
Aktiviti flashmob itu turut menjadi pembuka kepada perjalanan promosi MAHA 2026 menerusi bas HOHO yang mengelilingi beberapa lokasi ikonik di sekitar Kuala Lumpur, termasuk Istana Budaya dan Menara Kuala Lumpur (KL Tower).
Bas yang dihiasi dengan konsep dan identiti MAHA 2026 itu membawa mesej pameran secara bergerak bagi menarik perhatian orang ramai, di samping memperkenalkan MAHA 2026 kepada masyarakat di luar kawasan penganjuran.
Pendekatan guerilla marketing ini menawarkan pengalaman promosi yang lebih interaktif dan dekat dengan masyarakat, selain mengetengahkan MAHA 2026 sebagai sebuah acara yang menggabungkan pertanian, teknologi, inovasi, agromakanan, hortikultur, agropelancongan dan hiburan.
MAHA 2026 berlangsung selama 10 hari, bermula 28 Ogos hingga 6 September 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor.
Bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”, MAHA 2026 memberi penekanan kepada pemodenan sektor agromakanan menerusi penggunaan teknologi, inovasi serta penghasilan nilai sepanjang rantaian makanan.
MAHA 2026 menghimpunkan pelbagai pemain industri, usahawan, pengusaha agro, penginovasi dan agensi berkaitan. Para pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai tarikan termasuk pameran teknologi pertanian, produk agromakanan, hortikultur, ternakan, agropelancongan, aktiviti interaktif serta hiburan.
Bagi melengkapkan pengalaman pengunjung, MAHA 2026 turut menampilkan persembahan artis tempatan dan antarabangsa menerusi konsert ROTF, antaranya Dayang Nurfaizah, Hael Hussaini, Syamel, Noraniza Idris, Anggrek dan Cakra Khan, selain barisan artis lain sepanjang tempoh penganjuran.
Penganjuran MAHA 2026 turut membuka ruang kepada masyarakat untuk melihat perkembangan sektor pertanian daripada perspektif yang lebih moden, selain meneroka peluang dalam bidang agromakanan, teknologi dan keusahawanan.
Aktiviti promosi di SOGO Kuala Lumpur diharap dapat mencetuskan keterujaan orang ramai untuk berkunjung ke MAHA 2026 dan menyaksikan sendiri pelbagai inovasi, teknologi serta perkembangan terkini dalam sektor agromakanan negara.
Orang ramai dijemput hadir ke MAHA 2026 di MAEPS Serdang dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 untuk menikmati pelbagai pengalaman, pameran dan aktiviti yang disediakan sepanjang 10 hari penganjuran. – OMK!