PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) — Kerajaan yakin Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun akan diluluskan Parlimen pada sidang akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ketua Whip Kerajaan berkata keyakinan itu berdasarkan sokongan majoriti Ahli Parlimen terhadap cadangan reformasi tersebut, walaupun rang undang-undang berkenaan gagal memperoleh majoriti dua pertiga dalam pengundian pada Isnin lalu.
Menurut beliau, kebanyakan Ahli Parlimen yang tidak hadir semasa proses pengundian sebenarnya menyatakan sokongan terhadap rang undang-undang tersebut.
“Dua Ahli Parlimen telah menghantar surat rasmi menjelaskan sebab ketidakhadiran mereka, manakala beberapa yang lain turut memaklumkan perkara sama secara lisan.
“Ada yang masih berada di luar negara kerana kekurangan penerbangan. Hanya Ahli Parlimen Bukit Gantang (Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal) menyatakan tidak bersetuju, manakala yang lain menyokong. Ketidakhadiran mereka hanyalah kebetulan kerana keadaan yang menghalang mereka hadir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama warga Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di sini hari ini.
Sementara itu, Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan rang undang-undang tersebut akan dibentangkan semula pada sidang Dewan Rakyat Jun ini selepas dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Fadillah menegaskan langkah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Anwar untuk melakukan reformasi terhadap sistem pentadbiran negara.
Beliau turut menegaskan bahawa pindaan yang dicadangkan tidak akan menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong mahupun institusi Raja-Raja Melayu.
Dalam pengundian blok sebelum ini, seramai 146 Ahli Parlimen menyokong rang undang-undang berkenaan, manakala 32 tidak hadir dan 44 lagi tidak mengambil bahagian dalam undian.
Untuk diluluskan, pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga Ahli Parlimen, iaitu 148 undi.