KUALA LUMPUR, 4 Mac — Kanak-kanak berumur di bawah 16 tahun tidak dibenarkan membuka akaun media sosial sendiri, namun akaun yang diuruskan oleh ibu bapa bagi pihak anak-anak masih dibenarkan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bertujuan melindungi golongan bawah umur daripada pelbagai risiko keselamatan dalam talian, termasuk ancaman pemangsa siber yang cuba menghubungi kanak-kanak melalui platform media sosial.
Menurut beliau, isu utama ialah siapa yang mengawal akaun tersebut.
“Kita tidak mahu kanak-kanak mengendalikan akaun mereka sendiri. Jika akaun dibuka oleh ibu bapa, sekurang-kurangnya mereka boleh memantau sekiranya ada individu tidak dikenali cuba menghubungi anak mereka,” katanya dalam sidang media selepas Program Kebajikan Sejahtera MADANI: Sumbangan Ihsan Kasih Ramadan 2026 di sini hari ini.
Fahmi turut memaklumkan bahawa kerajaan kini sedang melaksanakan regulatory sandbox bersama platform media sosial bagi memperkenalkan had umur minimum 16 tahun untuk pendaftaran akaun baharu.
Beliau menjelaskan pendekatan Malaysia berbeza daripada model Age Assurance yang digunakan di Australia. Sebaliknya, Malaysia akan memanfaatkan perundangan tertentu termasuk penggunaan MyKad sebagai elemen tambahan untuk pengesahan identiti dan umur.
Walaupun begitu, kanak-kanak masih boleh menonton kandungan di platform seperti YouTube, namun mereka tidak dibenarkan memiliki akaun peribadi kerana akaun tersebut membolehkan individu luar menghubungi mereka secara langsung.
Fahmi juga mengingatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap aktiviti digital anak-anak dan tidak membiarkan mereka menggunakan peranti tanpa pemantauan terlalu lama.
“Peranti bukan pengasuh. Ibu bapa juga mempunyai tanggungjawab untuk memantau anak-anak,” katanya. – BERNAMA